Thursday, February 23, 2012

SEJARAH SJK (C) CHONG HWA , SERI MEDAN, BATU PAHAT JOHOR

SJK(C) Chong Hwa, Seri Medan terletak lebih kurang 22 km di timur laut Batu Pahat. Ia adalah berdekatan dengan Kampung Sri Medan yang terkenal dengan pengeluaran bijih besinya.Sekolah ini merupakan sekolah tunggal di kampung ini.

Mengikut kata–kata beberapa orang yang bergiat dalam perjuangan pelajaran Cina, nama asal sekolah ini ialah SEKOLAH CINA CHIN TECK. Ia ditubuhkan pada tahun 1942 semasa penjajahan Jepun di Malayan.

Oleh sebab kawasan Sri Medan kaya dengan bijih besi dan kesuburan tanahnya, ramai orang Cina berhijrah ke kampung ini. Akibatnya bilik darjah yang sedia ada telah tidak mencukupi. Pada tahun 1946, Pengurus Jemaah dan penduduk –penduduk di sini berpendapat satu projek pembinaan sekolah baru harus dijalankan dengan segera. Maka satu jawatankuasa telah pun ditubuhkan. Jawatankuasa ini telah berusaha dengan giat untuk memiliki satu tapak yang sesuai untuk pembinaan sekolah ini. Satu kawasan yang luasnya 13/4 ekar berhampiran dengan pekan kampung telah dijadikan tapak pembinaaan bangunan sekolah. Segenap lapisan penduduk-penduduk telah menderma wang bagi menjalankan projek ini. Pada tahun 16hb.Julai 1946, dua buah bilik darjah dan sebuah pejabat telah didirikan sebagai Sekolah Rendah Chong Hwa, Seri Medan.

Kampung Sri Medan terletak di kawasan yang sangat rendah dan sering berlaku banjir pada masa hujan. Ini menyebabkan bangunan sekolah dirosakkan dan bumbung atap pun selalu bocor. Pembelajaran sukar dijalankan dan keselamatan murid juga diancam. Dengan sebab ini pembinaan semula sekolah ini dimulakan. Pada tahun 1956, pihak Pengurus Jemaah Sekolah bersetuju untuk menerima bantuan separuh daripada kerajaan. Dengan adanya kerjasama dari semua pihak, jawatankuasa ini berjaya mengumpul sejumlah wang yang besar bagi pembinaan bilik darjah baru itu. Kerajaan telah memberi sebanyak 6 ribu ringgit dan Malayan Mining Company menderma seribu ringgit untuk tujuan tersebut.

Pada tahun 1973, sekolah ini ditukarkan nama kepada SRJK (C) Chong Hwa, Seri Medan, Batu Pahat. Ia menerima bantuan penuh daripada kerajaan. Pada tahun yang sama sekolah ini telah mendapat bantuan wang daripada Jabatan Pembangunan Luar Bandar Johor untuk membina lagi dua bilik darjah, sebuah bilik pejabat , enam unit tandas dan kerusi meja murid–murid. Bangunan–bangunan ini dirasmikan oleh Menteri Besar Johor iaitu YB. Datuk Hj.Hassan.

Pada tahun 1980, kerajaan telah meluaskan satu projek membina semula sekolah ini dengan segala persiapan lengkap yang memerlukan perbelanjaan sebanyak 201400 ringgit di bawah Rancangan Pembangunan Malaysia yang ketiga. Sekolah ini akan disiapkan dengan bilik darjah, pejabat, kantin, perpustakaan dan bilik tandas serta bilik Guru Besar. Projek pembinaan ini dimulakan pada April 1984 dengan menggunakan sistem “pasang siap”. Malangnya pembinaan itu yang telah siap kira-kira 85 % telah diberhentikan tanpa diketahui sebab-sebabnya menjelang bulan November 1984. Projek pembinaan ini dipulihkan semula pada 17hb.Feb, 1987 dan dijangka siap dalam tempoh 5 bulan.

Sekolah ini mempunyai sejarah selama 70 tahun. Dalam tempoh masa ini, banyak perubahan telah berlaku. Banyak dokumen–dokumen berkenaan dengan sekolah ini telah hilang akibat penjajahan Jepun dan juga banjir. Dengan itu banyak perihal berkenaan dengan sekolah ini hanya dapat diketahui melalui beberapa orang yang pernah berjuang dalam perkembangan sekolah ini.

Pada bulan Jun 1987, bangunan sekolah baru telah siap dibina dan diserahkan kepada pihak pentadbiran sekolah. Dalam bulan yang sama, sekolah berpindah masuk ke dalam bangunan baru ini. Bangunan baru ini juga siap dengan kemudahan–kemudahan seperti elektrik, air paip, kipas angin dan kerusi meja yang baru.

Pada tahun 1993, Jemaah Pengurus dan PIBG telah berusaha mencari sumber kewangan untuk membina sebuah ruangan khas untuk aktiviti permainan bola ping pong. Tempat ini juga diubahsuai dan mempunyai sebuah pentas untuk aktiviti persembahan.

Pada tahun 1997, atas usaha Guru Besar Te Heng dan kerjasama PIBG serta Jemaah Pengurus telah mengadakan Malam Persembahan Pentas untuk mengutip derma tabung komputer. Projek ini telah berjaya mendapat pungutan wang sebanyak kira–kira RM 80,000 daripada komuniti. Sumber kewangan ini telah membolehkan pihak sekolah menyediakan sebuah bilik komputer yang berhawa dingin. Bilik komputer ini juga dilengkapi dengan 12 buah komputer, sebuah mesin scanner dan empat buah mesin cetak. Pada tahun ini juga, kelas komputer juga telah diadakan. Murid–murid Tahun 1 hingga Tahun 6 telah berpeluang menguasai teknik pengendalian komputer. Justeru itu, murid–murid dapat melengkapkan diri untuk menuju ke alaf siber dan digital.

Pada tahun 1999, pihak sekolah telah mengadakan Hari Kantin untuk mengutip derma bagi membiayai dan menambahbaikan kemudahan–kemudahan pusat sumber sekolah juga telah berhawa dingin.

Dengan adanya kerjasama antara pihak sekolah, Jemaah Pengurus dan PIBG, moga–moga SJK ( C ) Chong Hwa, Seri Medan akan kian maju pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment